Islam

Islam ( الإسلام;) ialah agama yang terkandung dalam al-Quran, yang dianggap penganutnya sebagai kalam Allah , kata demi kata, serta ajaran dan contoh nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Perkataan Islam bermaksud "penyerahan", atau penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang penganut Islam dikenali sebagai Muslim, bermaksud "seorang yang tunduk [kepada Allah]".
Muslim percaya bahawa Allah itu Esa dan tujuan hidup ialah untuk menyembah Tuhan. Muslim juga percaya bahawa Islam merupakan versi lengkap dan sejagat kepercayaan monoteistik ajaran Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s., dan lain-lain nabi. Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah pengasas agama baru, sebaliknya menjadi pemulih keimanan monoteistik ajaran nabi-nabi terdahulu.
Amalan keagamaan Islam termasuklah Rukun Islam, yang merupakan lima tanggungjawab yang menyatukan Muslim ke dalam sebuah masyarakat. Selain itu, terdapat syariat Islam (شريعة, syari'ah) yang menyentuh pada hampir semua aspek kehidupan dan kemasyarakatan. Tradisi ini meliputi segalanya dari hal praktik seperti hukum pemakanan dan perbankan kepada jihad dan zakat.
Hampir kesemua Muslim tergolong dalam salah satu dari dua mazhab terbesar, Sunah dan Syiah. Islam adalah agama kedua terbesar di dunia, selepas Kristian, dan boleh dikatakan agama yang berkembang paling pesat di dunia.
  
Etimologi dan maksud


Perkataan Islam merupakan kata nama kerjaan berasal daripada kata akar tiga konsonan s-l-m, dan diterbitkan dari kata kerja bahasa Arab Aslama, yang bermaksud "untuk merelakan, menyerah atau tunduk (kepada Tuhan)." Satu lagi perkataan yang diterbitkan daripada akar yang sama ialah salam (سلام) yang bermaksud 'sejahtera'. Dengan demikian, Islam bermaksud penyerahan dan penundukan kepada Allah, dan Muslim harus menunjukkan ini dengan menyembah-Nya, menurut perintah-Nya, dan mengelakkan syirik. Perkataan ini kadangkala memiliki pengertian berlainan dalam al-Quran. Dalam sesetengah ayat, kualiti Islam sebagai kepercayaan dalaman ditegaskan: "Barangsiapa yang Allah kehendaki untuk memberi panduan kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya kepada Islam." Ayat lain menghubung islām dan dīn (lazimnya diterjemahkan sebagai "agama" atau "cara hidup"): "Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu (dīn) dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama kamu." Manakala ada pula yang menggambarkan Islam sebagai perbuatan kembali kepada Allah—lebih dari hanya penyataan pengesahan keimanan.


Rukun Iman

Iman ialah membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Para ulama menetapkan setiap Muslim mestilah percaya kepada enam perkara asas dalam Islam yang dikenali sebagai Rukun Iman, iaitu percaya pada Allah, pesuruhNya, malaikatNya, wahyuNya, Hari Kiamat, dan pada qada dan qadar.
Muslim percaya bahawa Allah mewahyukan pesanan terakhirNya kepada manusia melalui Nabi Islam Muhammad s.a.w. dan melalui malaikat Jibrail. Bagi umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan Nabiullah terakhir dan kitab al-Qur'an merupakan wahyu yang diterima baginda lebih dari dua dekad. Muslim percaya bahawa para nabi merupakan manusia dan bukan tuhan/dewa, meskipun mereka mampu melakukan mukjizat untuk membuktikan kenabian mereka. Nabi-nabi dianggap menjadi yang paling hampir sempurna dari semua manusia, dan uniknya merupakan penerima wahyu ketuhanan-sama ada terus dari Allah atau melalui perantaraan malaikat. Al-Qur'an menerangkan nama-nama berbagai tokoh yang dianggap nabi dalam Islam, termasuk Nabi Adam a.s., Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. Teologi Islam mengatakan bahawa semua pesuruh Allah sejak Nabi Adam a.s. memberi perutusan yang sama - Islam - penundukan kepada Allah. Islam dihuraikan dalam al-Qur'an sebagai "sifat primordial bagaimana Allah mencipta manusia", dan Al-Qur'an menyatakan bahawa nama Muslim telah diberikan oleh Nabi Ibrahim a.s.


Allah

Konsep teologi asas Islam ialah tauhid-kepercayaan bahawa terdapat hanya satu Tuhan. Istilah Arab untuk Tuhan ialah Allāh; kebanyakan ilmuwan percaya ia diperoleh daripada penyingkatan kata al- (yang/itu) dan ʾilāh (tuhan), bermaksud "Tuhan" (al-ilāh), namun yang lain menjejak asal usulnya daripada kata Arami Alāhā. Bangsa bukan Arab mungkin menggunakan nama lain untuk Allah, seperti "Tanrı" dalam bahasa Turki atau "Khodā" dalam Parsi. Kepercayaan kepada Allah juga merupakan sebahagian daripada Rukun Islam, di mana tauhid diluahkan dalam syahadah (pengakuan), dengan mengisytiharkan bahawa:
"Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad ialah pesuruh Allah."
Dalam teologi tradisi Islam, Allah itu di luar pemahaman manusia; Muslim tidak perlu membayangkan Allah, cuma memuja dan sujud padaNya sebagai pencipta alam. Mereka mempercayai tujuan kewujudan ialah untuk menyembah Tuhan. Qur'an kadangkala memerikan Allah dengan nama atau sifat lain, seperti al-Rahman, bermakna "Maha Pengasih" dan al-Rahim, bermakna "Maha Penyayang" (lihat Asmaul Husna). Allah dihuraikan dalam surah 112 al-Qur'an sebagai:
"Dialah Allah Yang Maha Esa; Allah, Yang Kekal, Mutlak; Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."


Kitab

Muslim mempercayai bahawa terdapat beberapa kitab suci yang diturunkan Allah kepada nabi-nabinya, dengan al-Quran sebagai kitab terakhir. Mereka juga mempercayai kandungan kitab-kitab sebelum al-Quran, Taurat dan Injil, telah dipesongkan—sama ada dari segi tafsiran, teks, atau keduanya. Muslim menganggap al-Qur'an sebagai kata sebenar Allah; ia adalah pusat teks keagamaan Islam yang diturunkan dalam bahasa Arab.

Muslim percaya bahawa ayat Al-Qur'an telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. oleh Allah melalui malaikat Jibrail pada banyak peristiwa antara 610 dan kewafatan baginda pada 8 Jun 632. Al-Qur'an dilaporkan telah ditulis oleh sahabat Nabi semasa baginda masih hidup, namun cara utama penyampaian ialah melalui lisan. Ia telah disusun pada zaman khalifah pertama Abu Bakar as-Siddiq, dan telah dipiawaikan di bawah pentadbiran khalifah ketiga Uthman bin Affan.

Al-Qur'an dibahagikan kepada 114 surah, atau bab, yang apabila digabungkan, mengandungi 6,236 ayat. Surah lebih awal secara kronologinya, diturunkan di Makkah, menekankan topik etika dan kerohanian. Surah Madaniyyah berikutnya kebanyakannya membincangkan isu sosial dan moral yang berkaitan dengan masyarakat Muslim. Al-Qur'an lebih menekankan panduan moral berbanding ajaran undang-undang, dan dianggap "buku sumber prinsip dan nilai Islam".
  Pakar undang-undang Muslim merujuk hadith, atau rekod bertulis kehidupan Nabi Muhammad s.a.w., sebagai tambahan kepada al-Qur'an dan untuk membantu menafsirkannya. Sains ulasan dan takwil al-Qur'an dikenali sebagai tafsir.

Perkataan Qur'an bermaksud "pengucapan". Apabila Muslim bertutur secara abstrak mengenai al-Qur'an, mereka lazimnya memaksudkan kitab suci yang dibaca dalam bahasa Arab berbanding karya bercetak atau sebarang terjemahannya. Bagi Muslim, al-Qur'an hanya sempurna seperti diturunkan dalam bahasa Arab asli; terjemahan adalah semestinya kurang tepat atas sebab perbezaan bahasa, kesilapan daripada penterjemah, dan kemustahilan mengekalkan gaya asal yang diilhamkan. Terjemahan oleh itu hanya dianggap sebagai ulasan terhadap al-Qur'an, atau "tafsiran maksudnya", bukan seperti al-Qur'an itu sendiri.

Malaikat

Kepercayaan kepada malaikat merupakan satu lagi asas keimanan Islam. Kata bahasa Arab untuk malaikat (malak) bermaksud "utusan", seperti yang setara dengannya dalam Ibrani (malakh) dan Greek (angelos). Menurut Al-Qur'an, malaikat tidak memiliki tekad bebas, dan menyembah Allah dengan kepatuhan sempurna. Tugas malaikat termasuk menyampaikan wahyu daripada Allah, mengagungkan Allah, mencatat setiap perbuatan manusia, dan mengambil jiwa manusia di akhir hayatnya. Mereka juga difikirkan untuk menjadi perantara bagi pihak manusia. Al-Qur'an menghuraikan malaikat sebagai "utusan dengan kepak—dua, atau tiga, atau empat (pasang): Dia [Allah] menambahkan Makhluk mengikut kemahuanNya…"

 Nabi dan Rasul

Muslim mengakui para nabi (Arab: نبي‎) dan rasul (رسول) sebagai manusia yang dipilih Tuhan untuk menjadi utusanNya. Menurut Qur'an, semua nabi merupakan manusia dan bukan tuhan, walaupun mereka mendapat mukjizat yang membuktikan kenabian mereka. Teologi Islam menyatakan semua rasul menyampaikan pesanan Islam—penyerahan kepada kehendak Tuhan. Al-Qur'an menyebut nama beberapa orang yang dianggap nabi, termasuk Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa. Muslim juga percaya bahawa Allah menghantar Nabi Muhammad s.a.w. (Penutup segala Nabi) untuk menyebarkan pesanan ketuhanan ke seluruh alam (untuk menyimpulkan dan memuktamadkan kata Tuhan), sedangkan rasul-rasul sebelum baginda dihantar kepada puak atau kaum tertentu sahaja.
Dalam Islam, contoh "normatif" kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. dipanggil Sunnah (harfiahnya "kebiasaan"). Contoh ini dipelihara dalam tradisi yang dikenali sebagai hadith ("laporan"), iaitu rekod kata, perbuatan, dan perwatakan peribadi baginda. Muslim digalakkan untuk mencontohi perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. dalam kehidupan harian mereka, dan sunnah dilihat sebagai penting kepada panduan tafsiran al-Qur'an.

Kebangkitan dan pengadilan

Kepercayaan pada "Hari Kebangkitan", Yawm al-Qiyāmah (juga dikenali sebagai yawm ad-dīn, "Hari Pengadilan" dan as-sā`a, "Saat Terakhir") juga penting pada Muslim. Mereka percaya bahawa masa Qiyāmah telah ditentukan oleh Allah tetapi tidak diketahui oleh manusia. Ujian dan kesengsaraan yang mendahului dan semasa Kiamat dihuraikan dalam al-Qur'an dan hadith, dan juga dalam komentar dari ulama. Al-Qur'an menekankan kebangkitan jasad, suatu pemecahan dari kefahaman Arab pra-Islam tentang kematian. Ia menyatakan bahawa kebangkitan akan diikuti oleh perhimpunan manusia, dan pengadilan mereka oleh Allah.
Al-Qur'an menyenaraikan beberapa dosa yang boleh membawa seseorang ke neraka, seperti kufur, riba dan ketidakjujuran. Muslim melihat syurga (jannah) sebagai tempat keriangan dan kebahagiaan, dengan rujukan al-Qur'an menghuraikan sifatnya dan keseronokan fizikal yang akan datang. Terdapat juga rujukan kepada ridwān (kegembiraan dan senang hati). Tradisi mistik dalam Islam meletakkan keseronokan kesyurgaan ini dalam konteks kesedaran yang amat terhadap Allah.

Takdir

Selaras dengan kepercayaan Islam dalam takdir, atau ketentuan tuhan (al-qadā wa'l-qadar), Allah mempunyai pengetahuan dan kawalan penuh ke atas semua yang berlaku. Ini dijelaskan dalam ayat al-Qur'an seperti "Katakan: 'Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami'… Bagi Muslim, segala di dunia yang berlaku, baik atau jahat, telah ditentukan dan tiada apa yang boleh berlaku kecuali atas izin Allah. Menurut ahli teologi Muslim, walaupun peristiwa telah ditentukan, manusia memiliki tekad bebas dan dia boleh memilih antara betul atau salah, dan demikian bertanggungjawab atas perbuatannya. Menurut tradisi Islam, semua yang telah ditakdirkan oleh Allah ditulis dalam al-Luh al-Mahfūz, "Batu Suratan Terpelihara".

Kewajipan dan amalan

Lima Rukun Islam

Lima Rukun Islam (Arab: اركان الدين‎) adalah lima amalan penting dalam Islam Sunah, dan lima konsep asas penerimaan agama bagi Islam Syiah.
Rukun Islam bagi Muslim Sunnah ialah:
  1. Syahadah (الشهادة), iaitu fahaman asas ajaran Islam:
    اشهد ان لا اله الا الله اشهد ان محمدا رسول الله
    Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah
    Perjanjian ini adalah asas untuk semua kepercayaan dan amalan lain dalam Islam. Muslim harus mengulangi syahadah ini dalam solat, dan bukan-Muslim yang ingin memeluk Islam diperlukan untuk mengucap kalimah ini.
  2. Solat (صلاة‎), atau amalan sembahyang, wajib dilakukan lima kali sehari. Setiap solat perlu menghadap Kaabah di Makkah. Di kebanyakan negara Muslim, peringatan yang dipanggil Azan disiarkan secara umum dari masjid tempatan pada masa yang sesuai.
  3. Puasa (صوم), iaitu berpuasa pada bulan Ramadan. Muslim tidak boleh makan atau minum dari subuh hingga senja pada bulan ini, dan harus berwaspada dari dosa lain.
  4. Zakat (زكاة), atau pemberian sedekah. Amalan pemberian ini wajib untuk semua Muslim yang mampu, berdasarkan pada kekayaan yang dikumpul. Bahagian yang ditetapkan digunakan untuk membantu yang miskin dan yang memerlukan, dan juga untuk membantu menyebarkan Islam.
  5. Haji (حج), iaitu ziarah semasa bulan Zulhijjah ke bandar Makkah. Setiap Muslim yang mampu (dari segi badan dan harta) wajib menunaikan haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidupnya.
Mengikut Muslim Syiah pula, lima asas Islam ialah:
  1. Tauhid, Tuhan itu satu dan unik.
  2. Keadilan, konsep kebenaran moral berasaskan etika, keadilan dan kesaksamaan, bersama dengan hukuman jika melanggarnya.
  3. Hari Kiamat, penilaian terakhir Tuhan terhadap manusia.
  4. Kenabian, cara Tuhan menghantar utusan, atau nabi, untuk membimbing manusia.
  5. Imamah, institusi yang mewarisi institusi kenabian.
Lima rukun asas ini diikuti oleh sepuluh rukun subsidiari: 1.Solat; 2.Puasa; 3.Haji; 4.Zakat; 5.Jihad; 6.Amar ma'ruf; 7.Nahi munkar; 8.Satu Perlima; 9.Tawalla; 10.Tabarra.

Hukum dan perundangan

Syariah (secara harfiah: "laluan menuju ke tempat berair") merupakan hukum Islam yang dibentuk oleh kesarjanaan tradisi Islam. Dalam Islam, Syariah ialah penyataan kehendak ketuhanan, dan "membentuk satu sistem kewajipan terhadap seorang Muslim oleh sebab kepercayaan agamanya".
Hukum Islam meliputi semua aspek kehidupan, daripada hal negara, seperti pentadbiran dan hubungan luar, kepada isu kehidupan seharian. Al-Qur'an menakrifkan hudud sebagai hukuman untuk lima jenayah khusus: berzina, tuduhan zina, meminum arak, mencuri dan merompak. Al-Qur'an dan Sunnah juga mengandungi hukum pewarisan, perkahwinan, dan pembalasan untuk kecederaan dan bunuh, serta peraturan untuk puasa, sedekah dan solat. Bagaimanapun, arahan dan larangan ini mungkin agak umum, jadi tahap amalannya berbeza-beza. Para ulama telah membentuk sistem hukum berasaskan peraturan-peraturan ini dan tafsiran mereka.
Fiqh, atau "perundangan", ditaksirkan sebagai pengetahuan peraturan amali agama. Cara yang digunakan pakar hukum Islam untuk memperoleh hukum dikenali sebagai usul al-fiqh ("teori hukum", atau "prinsip fiqh"). Menurut teori hukum Islam, undang-undang Islam mempunyai empat sumber asas, iaitu mengikut keutamaan: Al-Qur'an, Sunnah, kesepakatan ulama Muslim (ijma'), dan pemikiran beranalogi (qiyas). Untuk pakar hukum Islam awal, teori kurang penting berbanding aplikasi pragmatik hukum ini. Pada abad ke-9, Imam al-Shafi'i memberikan asas teori perundangan Islam dengan mengekodkan prinsip fiqh (termasuk empat sumber asas) dalam bukunya ar-Risālah.

Kehidupan keluarga

Unit asas dalam masyarakat Islam adalah keluarga, dan Islam mentakrifkan kewajipan dan hak ahli keluarga. Ayah dilihat bertanggungjawab secara kewangan untuk keluarganya, dan wajib untuk memenuhi keperluan mereka. Pembahagian warisan ditentukan dalam al-Qur'an, yang menyatakan bahawa kebanyakannya adalah untuk keluarga terdekat, manakala sebahagian diasingkan untuk pembayaran hutang dan wasiat.

Bahagian wanita dalam pewarisan lazimnya separuh dari lelaki yang sama taraf. Perkahwinan menurut Islam merupakan kontrak sivil yang terdiri dari tawaran dan penerimaan antara dua pihak yang layak dengan kehadiran dua saksi. Pengantin lelaki diperlukan untuk membayar mahar kepada pengantin perempuan, seperti yang disyaratkan dalam kontrak.

Seorang lelaki boleh mempunyai hingga empat isteri jika si suami percaya dia boleh melayani mereka dengan adil, manakala seorang perempuan hanya boleh mempunyai satu suami. Di kebanyakan negara Muslim, proses penceraian dalam Islam dikenali sebagai talaq, yang lazimnya dilakukan suami dengan menyebut kata "cerai". Wanita dikehendaki memakai tudung dan menurut aurat, namun para sarjana tidak sependapat sama ada terdapat dalil Qur'an terhadap amalan tradisional Islam seperti purdah dan burqa.

Bermula pada abad ke-20, reformis sosial Islam bertelagah terhadap amalan ini dan amalan lain seperti poligami, dengan kejayaan berbeza. Pada masa sama, ramai wanita Islam cuba menyelaraskan tradisi dan kemodenan dengan menggabungkan kehidupan aktif dengan kesederhanaan luaran. Sesetengah kumpulan Islamis seperti Taliban pula cuba untuk meneruskan peraturan tradisional seperti yang digunakan kepada wanita.

Pakar hukum

Terdapat banyak istilah dalam Islam untuk merujuk kepada mereka yang pakar dalam hukum Islam. Lazimnya para sarjana ini terpelajar dalam beberapa bidang pengajian Islam. Secara umumnya, istilah ulama digunakan untuk merujuk kepada mereka yang telah menyempurnakan latihan dan pengajian sains Islam beberapa tahun, seperti mufti, qadi, faqih atau muhaddith. Sesetengah Muslims turut menganggap mullah, imam dan mawlawi—yang cuma mencapai tahap terendah kesarjanaan Islam sebagai ulama; manakala yang lain menganggap mereka perlu mencapai taraf lebih tinggi. Ada juga Muslim yang mengamalkan ijtihad di mana mereka tidak menerima kewibawaan ulama.

Adab dan pemakanan

Banyak amalan jatuh dalam kategori adab, atau etika Islam. Ini termasuk menegur sapa yang lain dengan "as-salamu `alaykum" ("selamat sejahtera atas kamu"), menyebut bismillah ("dengan nama Allah") sebelum makan, dan menggunakan hanya tangan kanan untuk makan dan minum. Amalan kebersihan Islam secara besarnya dibahagikan kepada kategori kesihatan dan kebersihan peribadi. Bersunat bagi lelaki diamalkan secara meluas.

Upacara pengebumian termasuk solat jenazah serta memandikan dan mengkafankan mayat, dan kemudian ditanam dalam kubur. Muslim mempunyai batasan dalam pemakanan mereka. Makanan haram termasuklah produk khinzir, darah, bangkai dan alkohol. Semua daging harus diperoleh dari haiwan yang disembelih dengan nama Allah oleh seorang Muslim, atau Ahli Kitab, dengan pengecualian haiwan buruan dan haiwan laut. Makanan yang dibenarkan untuk Muslim dikenali sebagai makanan halal.